04 June 2014

Ego

#1

Kalau kau disuruh untuk menunjukkan lokasi akal pada jasad; atau tempat semadian roh dan jiwa manusia, ke mana akan kau letakkan jari telunjukmu?

Kalau aku, yang pertama terlintas dalam bayangan maya adalah kepalaku. Di sebalik kranium nipis di belakang bola mata tersimpan dua hemisfera sama saiz menguasai setiap inci jasad; dari lima deria ke pergerakan motor, dari rembesan hormon pertumbuhan ke hormon mengawal rasa mahu nyahtinja. Dari pesanan berbentuk elektrik ke reaksi kimia elektron yang berjuta. Dan dari perasaan cinta itu kepada proses persenyawaan antara sperma dan ovum, semuanya di bawah taklukan dua hemisfera itu; sang otak.

Namun otak tidak dimuliakan hanya kerana kepelbagaian fungsinya.

Kepala menjadi pusat kepada kehormatan dan maruah seseorang manusia normal. Mereka yang dari sekte rendah akan tunduk kepada mereka yang lebih berkedudukan sebagai mana seorang rakyat biasa akan tunduk menghormati sang raja yang berdarah emas. Si suami akan mencium dahi isteri dan anak-anaknya tanda sayang dan hormat, tidak pula kepada orang-orang rambang di jalanan yang hanya disantuni dengan perjabatan tangan dan pelukan separa mesra.

Untuk mereka yang seperti aku, anak melayu atau rumpunan melayu, istilah 'jangan main kepala' dihadam pekat ke dalam hati-hati kami. Pantang sekali kepala dibuat main; ia melambangkan kebiadapan yang tinggi. Di tempat aku sedang menuntut ilmu, sesiapa yang duduk di barisan hadapan dewan kuliah biasa menjadi sasaran belaian 'lembut' pensyarah. Mereka tidak meletakkan harga yang begitu tinggi pada kepala.

Bahkan, ditampar itu lebih menghinakan berbanding ditumbuk di perut.

Bagaimana kalau kau disuruh untuk menunjukkan lokasi aib terbesar pada diri, kemana akan kau sasarkan jarimu?

Untuk ini kita akan berbeda. Mungkin ada yang menunjuk kepada kemaluan sama ada depan atau belakang, mungkin juga ada yang mensasarkan bahagian anggota lain yang dibencinya. Mungkin juga, ada yang menyimpan jari ke dalam penumbuk; tidak mahu dituduh mengkufuri nikmat Tuhan, atau dia yang berbangga dengan kesempurnaan fizikalnya.

Soalnya di sini bukan untuk kita mengeji kurniaan Tuhan. Aib adalah pada bahagian tubuh yang mahu ditutup dari mata-mata awam. Aib pada erti kata tempat yang memakhlukkan kita, yang membezakan kita dari makhluk syurga dan meletakkan kita seiring dengan binatang liar di hutan.

Untuk aku, tiada yang mengingatkan aku pada hakikat penciptaanku yang serba lemah daripada rasa lapar dan rasa mahu ke tandas. Untuk aku, aibku adalah pada tempat keluarnya najis dari perutku dengan segala macam bau dan warna. Oleh itu kawasan itu perlu sentiasa ditutup dari pengetahuan awam, agar kehormatan diriku yang sedikit itu tidak terus berkurang.

Kepala dan dubur, dua aset tubuh yang melambangkan harga diri seseorang.

#2

Ketika sujud, kepala kita letakkan atas tanah dan punggung kita angkat tinggi menolak lagi dahi yang tertekan tadi ke arah bumi. Saat itu kepala lebih rendah dari punggung, dan padaku tiada yang lebih menurunkan egoku di hadapan Tuhan daripada kedudukan ini.
 
 
Copyright © Gurindam Jiwa
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com