10 May 2014

Fin

Kesan hitam-merah darah seekor lalat tertompok tepat di tengah-tengah telapak tangan kanan Fin.

Lalat kecil itu, terbang laju ke setiap arah sambil sekali sekala mendarat di muka, kepala atau lengan Fin yang baru pulang dari stadium universiti. Sang lalat amat menjengkelkan Fin. Kulit Fin kesat dengan peluh-peluh kering, sekali sekala dilap dahinya yang berpeluh pada lengan bajunya.

Tangan kanan Fin menepuk laju tepat ke lengan kirinya. Lalat tadi jatuh laju ke tanah, sayap kirinya terlerai dari badannya yang hancur dihentam tangan Fin yang entah berapa kali ganda lebih besar daripadanya. Tamat sudah riwayat seekor serangga kecil penghurung kekotoran, hina pada pandangan manusia-manusia berakal sihat seperti Fin.

Fin merenung tajam ke arah bangkai lalat di atas tar jalan itu. Puas! Hati kecil Fin riang melihat si pengacau itu kaku sendiri, sambil kakinya memijak penyet sang lalat menambah puas hati Fin. Seperti rakan-rakan manusia berakal sihat seperti Fin sendiri, dia beranggapan dunia ini akan lebih indah tanpa lalat-lalat kotor yang sibuk menghinggap pada tubuh manusia suci. Lalat tidak membawa apa-apa kebaikan kepada kehidupan sehariannya.

Pedih tamparan tangan Fin masih berbisa kuat, tangannya masih mengusap-usap lengan kirinya mengimbau kepuasan dapat membunuh seekor lalat hitam yang kotor. Aneh, fikir Fin, kerana dia berasa begitu bangga dengan perlakuannya.

"Mati pun kau!"

Dan Fin berlalu pulang ke rumah, sambil membayangkan hidangan ayam masak kari yang panas terhidang di dapur. Lalat itu hilang dari fikiran Fin, hidupnya kembali seperti biasa; pada setiap hari Ahad hingga Khamis jam sembilan pagi hingga tiga petang Fin akan ke fakulti, di sebelah petang dia keluar ke stadium bersama rakan-rakan sekelasnya dan selepas maghrib Fin akan mengaji al-quran, memasak dan mengulangkaji pelajaran sehingga jam tepat pukul 11.30 malam.

Lalat yang hina itu tidak bermakna lagi kepadanya.

Kehidupan Fin kembali pada skala normal. Selang sehari jadual hariannya akan bertaburan. Beberapa hari seminggu Fin berjaga sehigga dua jam sebelum subuh dek menonton rancangan televisyen kegemarannya. Kadang kala Fin keluar bersama kawan-kawannya sehingga terlupa akan tugasan-tugasannya di universiti. Kadang kala Fin terlupa akan jam di dinding sehingga tinggal hanya sepuluh minit lagi untuk dia menunaikan solat asar.

Tetapi itu hanyalah rutin harian Fin, seorang manusia biasa yang bisa terleka akan dunia. Fin masih melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang manusia, ya, yang tinggal sama ada ia baik ataupun tidak. Bahkan seburuk-buruk hidup Fin, dia masih mampu untuk tidak meninggalkan solat semenjak dia memasuki tingkatan dua. Fin masih lagi seorang manusia suci yang dimuliakan Tuhan dengan akal yang bijaksana.

Bangkai lalat itu, yang kematiannya tidak dihiraukan dunia, semakin hancur digesek kaki-kaki manusia yang memijaknya. Debu-debu semakin menutupi bangkai lalat yang sempat hidup di dunia mungkin hanya beberapa hari. Walaupun begitu, sang lalat telah menyempurnakan amanat Tuhan ke atasnya. Sang lalat hidup sebagaimana diarahkan Tuhan, ia hidup menjalankan tugasannya dan ia belum sempat untuk melanggar batasan-batasan yang telah ditetapkan keatasnya. 

Lalat itu menghurung najis sebagai menurut perintah Tuhannya sambil ia tidak melanggar sedikit pun had-had yang telah Tuhan tetapkan ke atasnya.

Sedang Fin, seorang manusia suci yang dimuliakan dengan akal, berkali-kali mencabar Tuhan dengan keangkuhannya.
 
 
Copyright © Gurindam Jiwa
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com