26 July 2014

Goodness

One of the great scholars of the Maliki school of fiqh, Imam Abu Zaid al-Maliki, said that all attributes of goodness stem from four hadiths[a]:

  1. The hadith in which the Prophet (sas) says to speak well or remain silent.
  2. The hadith about leaving that which does not concern him.
  3. The hadith in which the Prophet (sas) said to a man asking for advice - “Do not get angry. Do not get angry. Do not get angry.”
  4. “You will not attain true belief until you love for your brother what you love for yourself.”

20 July 2014

Humility

Jadi semalam aku kebingungan. 

Segala macam yang berlaku pada hari semalam menjadi serba tak kena padaku; cuaca yang terlalu panas, surau yang memasang speaker terlalu kuat, iftar yang hambar, malah puluhan movie yang aku muat turun gagal memberi aku kepuasan seperti mana biasa. Jangan disebut tentang al-Quran, entah kenapa aku terasa jauh sekali darinya semalam.

Kembalian aku ke Malaysia meletakkan aku pada satu keadaan yang menjengkelkan, kalau di Mesir aku punya bilik sendiri yang bisa aku aturkan mengikut kehendakku. Di Malaysia aku menumpang di ruang kosong yang ditinggal tanpa penghuni, menunggu kepulangan tuan empunya bilik untuk pulang.

Mengarut, kan?

Resah itu biasa, bila aku terasa terkongkong dalam rumahku sendiri.

Kemudian aku mencapai telefon pintarku dan aku menekan logo Facebook yang berwarna biru. Newsfeed dipenuhi dua isu semasa, yang pertamanya sejak seminggu yang lalu adalah isu perang Gaza-Israel yang tak berkesudahan, diselitkan dengan paparan-paparan demonstrasi anti-Israel dari seluruh bandar-bandar utama dunia. Ketika aku terus scroll ke bawah, diberitakan pula tentang sebuah keluarga berjumlah lima puluh anggota yang terpaksa menyorok di dalam dua bilik yang 'paling selamat' ketika Gaza dibedil oleh Israel di luar. Dunia pula masih belum melupakan kejadian empat orang kanak-kanak lelaki berumur kurang daripada sebelas tahun yang dibunuh ketika sedang bermain bola di tepi pantai Gaza. Tambahan lagi, di laman Twitter warga Gaza menceritakan bagaimana bekalan elektrik dipotong zionis selama 21 jam sehari.

Teringat aku akan rumah sewaku di Mesir, bekalan elektrik akan terputus sekurang-kurangnya dua kali sehari, sejam setiap kali.

Kedua adalah isu kapal terbang MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine oleh puak pemisah pro-Rusia mengakibatkan kematian semua 295 penumpangnya. Laman maya antarabangsa hari ini sedang sibuk menuding jari ke arah MAS, ke arah Rusia, ke arah Amerika, ke arah Ukraine. Sekelip mata warga dunia telah menjadi pakar dalam politik antarabangsa, dalam konflik kuasa-kuasa besar dunia, atau dalam ilmu pesawatan.

Dunia kembali gila sebentar.

Kalau aku kembali ke bulan-bulan yang lalu, isu-isu yang menjadi bualan ramai termasuklah isu MH370, isu Syria, isu ISIS di Iraq, isu adik Muhammad Firdaus yang CP dan bermacam lagi kesengsaraan yang dihadapi orang lain.

Dan apabila aku teringatkan kesengsaraan orang lain; yang dinafikan hak-hak asasi seorang manusia, yang diuji dengan keluarga yang porak peranda, yang dinafikan Tuhan akan tubuh badan yang sihat di dunia, bahkan bermacam-macam lagi yang tak perlu aku sebutkan di sini,

aku terasa hangat di muka ku seperti ditampar tangan lutsinar sedang hatiku terasa malu dengan kononnya 'ujian' yang sedang aku lalui.

Suddenly there was this surge of humility filling me with utter embarrassment and self disgust. Come on lah.

04 June 2014

Ego

#1

Kalau kau disuruh untuk menunjukkan lokasi akal pada jasad; atau tempat semadian roh dan jiwa manusia, ke mana akan kau letakkan jari telunjukmu?

Kalau aku, yang pertama terlintas dalam bayangan maya adalah kepalaku. Di sebalik kranium nipis di belakang bola mata tersimpan dua hemisfera sama saiz menguasai setiap inci jasad; dari lima deria ke pergerakan motor, dari rembesan hormon pertumbuhan ke hormon mengawal rasa mahu nyahtinja. Dari pesanan berbentuk elektrik ke reaksi kimia elektron yang berjuta. Dan dari perasaan cinta itu kepada proses persenyawaan antara sperma dan ovum, semuanya di bawah taklukan dua hemisfera itu; sang otak.

Namun otak tidak dimuliakan hanya kerana kepelbagaian fungsinya.

Kepala menjadi pusat kepada kehormatan dan maruah seseorang manusia normal. Mereka yang dari sekte rendah akan tunduk kepada mereka yang lebih berkedudukan sebagai mana seorang rakyat biasa akan tunduk menghormati sang raja yang berdarah emas. Si suami akan mencium dahi isteri dan anak-anaknya tanda sayang dan hormat, tidak pula kepada orang-orang rambang di jalanan yang hanya disantuni dengan perjabatan tangan dan pelukan separa mesra.

Untuk mereka yang seperti aku, anak melayu atau rumpunan melayu, istilah 'jangan main kepala' dihadam pekat ke dalam hati-hati kami. Pantang sekali kepala dibuat main; ia melambangkan kebiadapan yang tinggi. Di tempat aku sedang menuntut ilmu, sesiapa yang duduk di barisan hadapan dewan kuliah biasa menjadi sasaran belaian 'lembut' pensyarah. Mereka tidak meletakkan harga yang begitu tinggi pada kepala.

Bahkan, ditampar itu lebih menghinakan berbanding ditumbuk di perut.

Bagaimana kalau kau disuruh untuk menunjukkan lokasi aib terbesar pada diri, kemana akan kau sasarkan jarimu?

Untuk ini kita akan berbeda. Mungkin ada yang menunjuk kepada kemaluan sama ada depan atau belakang, mungkin juga ada yang mensasarkan bahagian anggota lain yang dibencinya. Mungkin juga, ada yang menyimpan jari ke dalam penumbuk; tidak mahu dituduh mengkufuri nikmat Tuhan, atau dia yang berbangga dengan kesempurnaan fizikalnya.

Soalnya di sini bukan untuk kita mengeji kurniaan Tuhan. Aib adalah pada bahagian tubuh yang mahu ditutup dari mata-mata awam. Aib pada erti kata tempat yang memakhlukkan kita, yang membezakan kita dari makhluk syurga dan meletakkan kita seiring dengan binatang liar di hutan.

Untuk aku, tiada yang mengingatkan aku pada hakikat penciptaanku yang serba lemah daripada rasa lapar dan rasa mahu ke tandas. Untuk aku, aibku adalah pada tempat keluarnya najis dari perutku dengan segala macam bau dan warna. Oleh itu kawasan itu perlu sentiasa ditutup dari pengetahuan awam, agar kehormatan diriku yang sedikit itu tidak terus berkurang.

Kepala dan dubur, dua aset tubuh yang melambangkan harga diri seseorang.

#2

Ketika sujud, kepala kita letakkan atas tanah dan punggung kita angkat tinggi menolak lagi dahi yang tertekan tadi ke arah bumi. Saat itu kepala lebih rendah dari punggung, dan padaku tiada yang lebih menurunkan egoku di hadapan Tuhan daripada kedudukan ini.

10 May 2014

Fin

Kesan hitam-merah darah seekor lalat tertompok tepat di tengah-tengah telapak tangan kanan Fin.

Lalat kecil itu, terbang laju ke setiap arah sambil sekali sekala mendarat di muka, kepala atau lengan Fin yang baru pulang dari stadium universiti. Sang lalat amat menjengkelkan Fin. Kulit Fin kesat dengan peluh-peluh kering, sekali sekala dilap dahinya yang berpeluh pada lengan bajunya.

Tangan kanan Fin menepuk laju tepat ke lengan kirinya. Lalat tadi jatuh laju ke tanah, sayap kirinya terlerai dari badannya yang hancur dihentam tangan Fin yang entah berapa kali ganda lebih besar daripadanya. Tamat sudah riwayat seekor serangga kecil penghurung kekotoran, hina pada pandangan manusia-manusia berakal sihat seperti Fin.

Fin merenung tajam ke arah bangkai lalat di atas tar jalan itu. Puas! Hati kecil Fin riang melihat si pengacau itu kaku sendiri, sambil kakinya memijak penyet sang lalat menambah puas hati Fin. Seperti rakan-rakan manusia berakal sihat seperti Fin sendiri, dia beranggapan dunia ini akan lebih indah tanpa lalat-lalat kotor yang sibuk menghinggap pada tubuh manusia suci. Lalat tidak membawa apa-apa kebaikan kepada kehidupan sehariannya.

Pedih tamparan tangan Fin masih berbisa kuat, tangannya masih mengusap-usap lengan kirinya mengimbau kepuasan dapat membunuh seekor lalat hitam yang kotor. Aneh, fikir Fin, kerana dia berasa begitu bangga dengan perlakuannya.

"Mati pun kau!"

Dan Fin berlalu pulang ke rumah, sambil membayangkan hidangan ayam masak kari yang panas terhidang di dapur. Lalat itu hilang dari fikiran Fin, hidupnya kembali seperti biasa; pada setiap hari Ahad hingga Khamis jam sembilan pagi hingga tiga petang Fin akan ke fakulti, di sebelah petang dia keluar ke stadium bersama rakan-rakan sekelasnya dan selepas maghrib Fin akan mengaji al-quran, memasak dan mengulangkaji pelajaran sehingga jam tepat pukul 11.30 malam.

Lalat yang hina itu tidak bermakna lagi kepadanya.

Kehidupan Fin kembali pada skala normal. Selang sehari jadual hariannya akan bertaburan. Beberapa hari seminggu Fin berjaga sehigga dua jam sebelum subuh dek menonton rancangan televisyen kegemarannya. Kadang kala Fin keluar bersama kawan-kawannya sehingga terlupa akan tugasan-tugasannya di universiti. Kadang kala Fin terlupa akan jam di dinding sehingga tinggal hanya sepuluh minit lagi untuk dia menunaikan solat asar.

Tetapi itu hanyalah rutin harian Fin, seorang manusia biasa yang bisa terleka akan dunia. Fin masih melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang manusia, ya, yang tinggal sama ada ia baik ataupun tidak. Bahkan seburuk-buruk hidup Fin, dia masih mampu untuk tidak meninggalkan solat semenjak dia memasuki tingkatan dua. Fin masih lagi seorang manusia suci yang dimuliakan Tuhan dengan akal yang bijaksana.

Bangkai lalat itu, yang kematiannya tidak dihiraukan dunia, semakin hancur digesek kaki-kaki manusia yang memijaknya. Debu-debu semakin menutupi bangkai lalat yang sempat hidup di dunia mungkin hanya beberapa hari. Walaupun begitu, sang lalat telah menyempurnakan amanat Tuhan ke atasnya. Sang lalat hidup sebagaimana diarahkan Tuhan, ia hidup menjalankan tugasannya dan ia belum sempat untuk melanggar batasan-batasan yang telah ditetapkan keatasnya. 

Lalat itu menghurung najis sebagai menurut perintah Tuhannya sambil ia tidak melanggar sedikit pun had-had yang telah Tuhan tetapkan ke atasnya.

Sedang Fin, seorang manusia suci yang dimuliakan dengan akal, berkali-kali mencabar Tuhan dengan keangkuhannya.

21 April 2014

Cermat

Cermat,
Untuk apa yang kau perkata,
Dalam apa yang kau catatkan

Bagi kamu mungkin yang berlalu itu biar berlalu,
Sedang malaikat mencatat tekun tanpa lesu
Sedang Tuhan belum pernah melepaskanmu
Akal bobrok meninggi diri,
Sedang dada masih lompong kanan dan kiri.
Biar kau senyap terkelu lidah
Dari mulut petah menyubur fitnah
Dari tangan tak lekang menambah marah

Pesan junjungan Rasul untuk dihadam,
Berkata baiklah! Ataupun diam
Demi Tuhan!
Moga kembalian ini menajamkan iman.
 
 
Copyright © Gurindam Jiwa
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com